PEMBUKA BICARA

As Salamu Alaikum Warahmatullah,

Sudah lama kutanamkan niat untuk menulis. Namun setiap kali aku cuba menarikan jari jemari ini di atas papan kekunci, setiap kali juga segala ideaku tersekat-sekat. Tidak tahu apa dan bagaimana untuk kumulakan bicara.

Alhamdulillah, hari ini kukuatkan azam di hati . Sedikit mukaddimah tentang diriku sebelum aku mula "menekan minyak" untuk terus menulis..hehehe.

Aku anak kelahiran Johor, dari 5 orang adik beradik. Ibarat "katak bawah tempurung". Kehidupanku cuma sekitar Johor sahaja. Sehinggalah aku diberikan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Kalau sudah lama "di bawah tempurung" pastinya menjadi seperti "rusa masuk kampung" apabila berhijrah ke negara orang.

Kenangan pertama kali menaiki kapal terbang bersama sekumpulan pelajar lain , masih kuingat lagi, betapa lucu dan "jakunnya" kami. Penerbangan British Airways dengan paramugari-paramugari berkulit putih gebu, itupun sudah mula "menjakunkan" kami. Padahal kalau nak diikutkan diri aku sudah "biasa" didedahkan dengan "orang putih berkulit putih" semasa usiaku 10 tahun lagi.

Dipendekkan mukaddimah yang mula akan memanjang ini, aku hidup dibumi " Ratu Elizabeth" selama 4 tahun, niat dihati nak bertemankan "orang putih Muslim", hahahha! tapi kata orang "cerminlah diri tu!".

Aku pulang ke Malaysia dengan harapan satu hari nanti akan dapat juga aku menjejakkan kaki semula di tanah asing. Akhirnya, hasratku dimakbulkan Allah. Nawaitu bondaku untuk melihat anaknya dijodohkan dengan orang yang soleh, disahut Allah dengan memperjodohkan aku dengan "mat saleh". Hampirlah tu!...ha ha ha!. Terlalu banyak pengalaman pahit dan manis di rantau dagang ini yang hendak kukongsi bersama, tapi nantilah dahulu!.

Setelah tamat pengajianku di peringkat Ijazah di luar negara, aku teruskan pengajianku ke peringkat Masters pula di sebuah universiti tempatan, kemudian aku bekerja sebentar di sebuah kilang membuat printer HP, sebelum mendapat kerja tetap di universiti tempatan yang sama. Tak sampai setahun bekerja, universitiku sudah mula diperkenalkan dengan internet. Aku mengambil kesempatan untuk cuba belajar melayarinya. Dari internet ke email, hinggalah ke "chat room".

Pelayaran dalam dunia internet membawa aku jauh sekali. Dalam diam-diam, aku sudah tersangkut, bukan calang-calang sangkutnya, dalam usia yang sudah dilihat menjangkau "senja" bagi sesetengah mentaliti orang Malaysia, usia 29 tahun dipandang tak sebelah mata. Gelaran "andartu" mula menyelinap dalam diri.

Sangkutku dengan orang jauh tidak diduga walaupun pernah tersimpan niat kepada yang Maha Esa, sekiranya sememangnya teknologi canggih ini boleh mnejadi "wadah" untuk bertemu jodoh, kenapa tidak digunakan sebagai satu usaha mencari jodoh. Maka tersangkutlah aku jauh di seberang pulau, pulau asing yang selalu disinonimkan dengan pulau syurga (paradise islandlah tu!).

Jodohku membawa aku ke pulau ini. Siapa sangka "si katak" yang membesar sebagai "si rusa" sekarang menjadi "si burung" yang dapat terbang ke tanah yang menjanjikan peluang kehidupan (Land of Opportunity). Walaupun pulau ini ibarat sekadar di hujung tanjung tanah Amerika yang besar dan luas, namun sudah amat terasa gahnya!.

Diam tak diam, selama 9 tahun aku bersama suami ber"bulan madu" di pulau syurga ini. Ombak pengalamanku semakin membesar rasanya setinggi ombak lautan Pasifik , memang hanya sesuai bagi mereka yang berani meluncur. Aku?. Mungkin aku salah seorang daripadanya yang berani "meluncur"?...he he he . ya! berani meluncur ombak pengalaman!.

Perjalanan hidup, pasang surut dipulau ini memaksa juga kami melakukan penghijrahan besar, dari pulau syurga kecil ke tanah besar Amerika demi mencari peluang yang lebih menjamin. Kuheretlah keluargaku yang juga sudah berderet ibarat panjangnya gerabak keretapi. Sebleum berhijrah, aku pulun aku membuat "kerjarumah" untuk memastikan tempat yang bakal aku bertapak ini , merupakan tempat yang terbaik untuk keluargaku.

Hmmm... mukaddimahku sudah berjela gamaknya. Begitulah resam kalau sudah mula menulis, pabila idea datang mencurah, sudah tidak dapat ditahan-tahan lagi.  

Dipendekkan mukaddimah, sehingga ke hari ini , di sinilah tempat kami masih bermastautin. Sudah hampir 6 tahun lamanya. "Ombak pengalaman"? sudah tentu melanda! Akan kuceritakan di penulisan yang lain setiap pengalaman yang kutempohi sepanjang aku menjadi sang "katak", sang "rusa" dan sang "burung".

Matlamatku, hanya satu, sekiranya pengalaman ini memberi kesan di hati, terimalah ia dan ambillah iktibar darinya. Akan tetapi sekiranya sekadar "biasa-biasa"sahaja, tiadalah paksaan di hati untuk "menelan"nya, malah terima kasih kerana sudi menjenguk ke blog ini dan sekurang-kurangnya anda berjaya juga membaca mukaddimah yang panjang ini. Niatku hanya satu, hidup ini adalah sekolah, kalau kita dapat menghayati pengalaman hidup, bermakna kita menghayati ilmu yang dibawa bersama-samanya. Kutip yang elok dan tinggalkan yang kurang elok. Semoga hidup kita diberkati.

InsyaAllah.

2 comments:

  1. Tahniah kak Ida! Love your 'true story' (pengalaman hidup). :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Terima kasih Shida!..:D. Harap akan memberi sedikit faedah, kalau tak banyak, sedikit.

      Delete

Sudi-sudikan menulis kembali kepada saya.....