CERITAKU : Apa warna darah awak ?

Pagi Selasa, 11 hb September, 2001, jiranku David (bukan nama sebenar) tidak datang bekerja. Kami baru sahaja membeli rumah pertama kami setelah lebih kurang 3 tahun duduk di Hawaii. David, seorang yang arif dalam landskap menawarkan bantuan untuk menyiapkan landskap di halaman belakang rumahku dengan harga yang sangat berpatutan.

Pagi Selasa itu juga, suamiku tidak membenarkan aku keluar rumah. Untuk pertama kali dalam hidupku, aku rasa diriku sangat rapuh tinggal di rantau orang. Padahal sebelum ini sudah lebih kurang 3 tahun aku di Hawaii, aku bebas ke mana-mana, tanpa ada rasa gundah. Tapi hari itu semuanya bertukar. Ke mana sahaja aku hendak pergi, aku ditemani suami. Takut aku diganggu orang, katanya. "Awak pakai hijab, Norlidah, jadi, diri awak mungkin lebih terdedah kepada bahaya," tegas suami. Aku dengar ramai juga muslimah di "Tanah Besar" sudah membuka hijabnya dengan alasan demi keselamatan.

Di Hawaii, orang Islam boleh dibilang dengan jari. Jiran-jiranku tak ada yang Muslim , namun aku sangat baik dengan mereka, sehinggalah hari hitam itu, aku tak tahu apa yang nak aku jangka tentang perasaan mereka terhadapku.

Terdetik di hatiku, mungkin David tak akan datang habiskan tugasannya.Aku pasrah sekiranya ini merupakan ujian Allah.

Jangkaanku rupanya banyak yang meleset. Kalau di "Tanah Besar" ramai orang cuba "membalas dendam" terhadap orang Islam, masjid diserang, orang Islam dicemuh dan ada yang dibunuh. Namun lain ceritanya di Hawaii.

Sebaik sahaja berita tersebar, golongan pertama yang datang memberikan sokongan kepada kami di masjid ialah golongan orang Jepun-Amerika. Mereka datang beramai-ramai ke masjid. Pada mulanya berbagai tanggapan bermain di minda. Tak tahu apakah niat tujuan mereka.

Allah itu Maha kaya,rupa- rupanya mereka datang untuk menghulurkan tangan.
"Kami tahu apa yang anda semua rasa, kami berada di tempat anda sebelum anda ketika peperangan Pearl Habor". SubhanaAllah!.

Terkenang aku akan sejarah Perang Dunia Kedua, pada 7hb Disember, 1941, Jepun menyerang Pearl Habor. Atas perintah President Amerika ketika itu, seramai lebih kurang 120,000 orang berketurunan Jepun telah diperintahkan keluar dari rumah mereka dan dihantar ke kem tahanan. Dua pertiga daripada mereka adalah berkerakyatan Amerika. Presiden Roosevelt yang memerintah ketika itu cuba "menegak benangnya yang basah" dengan mengatakan langkahnya itu bertepatan demi menjaga keselamatan negara dari ancaman Jepun.

Terkenang nasib kami ketika itu, apakah kami juga akan menjadi seperti tahanan Jepun-Amerika?.

Keesokan harinya, aku menerima tetamu. Tak kusangka, David rupanya!. Beliau datang untuk meneruskan tugasnya. Seperti tak ada apa-apa yang berlaku, begitulah reaksi yang dapat kubaca di wajah David. Nak tak nak, aku terpaksa meluahkan rasa hatiku. "David, awak dengar apa yang berlaku?". David dengan selamba berkata " Ya! dahsyat betul!". "David, saya orang Islam,". ujarku lagi. "Saya tahu.." balas David masih bersahaja meneruskan kerjanya. " Awak tak takut ke?". Pertanyaanku seolah-olah menguji air yang tenang. Tiba-tiba David berhenti dari mencangkul, dan menoleh ke arahku. " Norlidah, awak orang apa?" tanya David. "Orang apa?"balasku dengan pertanyaan juga. " Apa warna darah awak?", Aku agak cuak dengan pertanyaannya. "Aaaa....merah!". Jawabku seolah -olah meneka warna darah sendiri..hehehe. " Darah saya juga merah Norlidah!, warna darah awak sama dengan darah saya, jadi awak orang Hawaii!". Tercengang aku mendengarnya. "aaaaaa...iya iya! terima kasih David!". Tersenyum simpul aku menjawab.


Terharu apabila kufikirkan, Maha suci Allah, sedangkan orang yang tidak seagama denganku mengerti akan firman Allah :

Surah Al Hujurat, Ayat 13

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan dan Kami telah jadikan kamu berbagai bangsa bersuku-suku dan berpuak-puak, supaya kamu saling berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)."

4 comments:

  1. Assalamualaikum.
    Menarik sekali cerita puan. Benarlah kata orang tua-tua, banyak berjalan luas pandangan, banyak dirasa. Pengalaman yang puan lalui sungguh mahal harganya.Tahniah!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikum salam warahamtullah CIkgu Ani, terima kasih kerana sudi singgh ke blog saya. Harap mendapat faedah bersama,sekiranya ada...:D

      Delete
  2. Assalamualaikum. Cerita pengalaman amat menarik dan boleh dijadikan bahan penulisan sama ada karya kreatif dan karya bukan kreatif. Kajian sarjana yang saya buat menggunakan data cerita pengalaman orang Jawa yang merantau dari Tanah Jawa ke Tanah Melayu. Syabas, teruskan penulisan puan.

    ReplyDelete
  3. Tahniah, teruskan usaha! Banyak teladan boleh dikutip bagi mereka yang mengerti.

    ReplyDelete

Sudi-sudikan menulis kembali kepada saya.....