CERITAKU: Ustazah dan Kitab Mutaal Badrin


Aku bukanlah seorang murid yang popular sewaktu di sekolah menengah dahulu. Sekiranya aku popular, mungkin kerana satu pengalaman yang tidak dapat kulupakan seumur hidupku.

Waktu itu aku di tingkatan tiga. Seperti kebanyakan orang Johor, aku dihantar ibu dan ayah ke sekolah agama sebelah pagi sebelum ke sekolah kebangsaan di sebelah petang. Kalau tingkatan tiga di sekolah kebangsaan bererti bagi kebanyakan anak jati Johor, mereka sudah berada di peringkat darjah Khas di sekolah agama.

Apabila dikenang kembali,rasanya mata pelajaran yang dipelajari di darjah Khas sememangnya berat sekali untuk  anak-anak dalam usia mentah 15 tahun. Antaranya; Munakahat (Nikah Kahwin), Muamalat ( Perdagangan ), Tauheed, Ibadat, Feqh, Tasawuf, Bahasa Arab dan sebuah kitab yang dikenali sebagai Mutaal Badrin (jangan tanya aku apa maksudnya, sudah lupa!). Dengar nama buku sahaja mungkin sudah cukup untuk memberi "tabik spring" pada mereka yang mempelajarinya, (eh..akulah tu salah seorangnya!).

kitab-kitab lama yang kami gunakan semasa bersekolah agama.


Dipendekkan cerita, seorang Ustazah baru telah ditugaskan untuk berkhidmat di sekolahku dan kebetulan beliau menjadi guru agama untuk kelasku. Sekali pandang dan mendengar kata-kata lucunya aku terus terpikat. Aku berbisik kepada rakan sebelah "Awak!, kite rasekan, kite sukelah ustazah ni...". Dengan pantas, rakanku membalas "Baru lagi...tak tahu nanti mungkin berubah". Katanya dengan nada berhati-hati. Aku mengangguk tapi cuba menafikan di dalam hati.

Beberapa bulan "menikmati" kuliah beliau, aku dapat rasakan aku boleh memberi tanggapan yang baik tentang diriku. Beliau nampaknya macam kental ilmu agamanya. Sehingga suatu hari, kami diberi ujian penggal. Satu soalan bonus diberikan. Aku ingat-ingat lupa soalannya, tapi antara lain beliau meminta pelajar memberikan beberapa sebab puasa itu tidak terbatal...begitulah lebih kurang soalannya.

Dalam hatiku, soalan bonus ini agak mudah kerana sudah kupelajari di sekolah agama dan soalan ini , kalau mereka yang tidak bersekolah agama, mungkin agak sukar untuk menjawab dengan jawapan yang lebih tepat, jitu dan dengan huraian (sekurang-kurangnya itulah tanggapan aku pada masa itu..ha ha ha!). Sebenarnya jawapan soalan ini sudah diberitahu Ustazah sebelum peperiksaan, sama ada pelajar ingat atau tak ingat sahaja, tetapi aku rasa aku terlebih "ingat". Namapun soalan bonus, maka kalau lebih tepat dan jitu huraiannya, pasti sahaja lebih bonusnya...sangkaku lagi!.

Maka dengan penuh keyakinannya, akupun menulis segala jawapan yang berlebih-lebih huriannya berdasarkan pengetahuan dan ilmu yang kutimba sewaktu di sekolah agama. Beberapa hari kemudian, sewaktu di kelas, Ustazah memberikan semula keputusan ujian.....

Pada waktu itu, rasa tak tahu manalah nak sorokkan muka. Tiba-tiba Ustazah melenting " Siapa agaknya yang memberi jawapan yang tak senonoh untuk soalan bonus saya, tak tahu malu! Mengendap apa?, Tak senonoh! Tak sangka saya... manalah dia belajar agaknya!...blah! blah! blah!!" Satu demi satu kutukan beliau lemparkan di hadapan kelas. Semua murid terkejut, masing-masing berpandangan. Rakan sebelahku mengomel " siapalah yang tulis tu?". Aduh! berdesingggg...nak tak nak sekurang-kurangnya harus kuberitahu rakan sebelahku. " Kitelah yang tulis awak!....". Rakanku terbeliak biji mata hampir nak terkeluar akibat terkejut! " Kite belajar kat sekolah agama macam tu, mana kite tahu....". ceritaku pendek. "Ya ker?, e eh! kesian awak!". Aku hampir nak menangis!.

Waktu rehat, aku berjalan longlai ke dewan makan...sepanjang perjalanan ke dewan, aku terdengar  sana sini murid berkomat-kamit tentang isu yang sama. Aduh! tak tahu manalah nak sembunyikan muka!. Tak ketinggalan guru-guru lain juga berdesas-desus. Ya Allah! agaknya jawapan aku sudah disebarkan satu sekolahkah ?.

Di dewan, aku mencari rakan sekelasku di sekolah agama. Mujur juga ada rakan sekelas dari sekolah agama, yang sama-sama bersekolah menengah denganku. Salah seorang darpadai mereka ialah anak kepada Guru Besar sekolah agamaku. Aku nampak mukanya juga sedih, terus aku pergi mendapatkannya. " Midah! (bukan nama sebenar), awak tulis jawapan apa?".  Dalam nada sedih, dia berkata " kite tulislah apa yang kite belajar kat sekolah agama tu!". Laaaaa.......sama gamaknya kite...ha ha ha!. Nak ketawa ada, nak menangispun ada! Rasa terharu ada , rasa legapun ada!. "Midah! kitepun tulis jawapan yang samalah!". Baru nampak ceria sedikit muka rakanku. Kelihatan kemudian seorang lagi rakan sekolah agamaku meluru ke arah kami. "Eh! you all tulis jawapan apa?. I tulis jawapan macam kita belajar kat sekolah agama tapi tak lah se"detail"". Terjahnya. Kami menganggung saja.

"Ustazah tu betul-betul sudah memalukan kita,agak dia yang kurang ilmu kot!, apa kite nak buat ek?" tanyaku. "Takpe! Kite akan bagitau ayah kite dan esok kita akan bawak kitab Mutaal Badrin dan highlight jawapan kita dari buku tu!". Jawab Midah dengan yakin. Fuh! lega rasa hati, dalam hati berdetik "rasakan Ustazah! nantilah.. bila bapa Midah menjawab!".

Keesokan harinya, Midah membawa kitab Mutaal Badrin. Berlari-lari dia mendapatkan kami. "Tengok nih, bapa kite dah highlight dah semua jawapan, dan bapa kita akan contact sekolah". Sambil menunjukkan jawapan di kitab. Tambah Midah lagi "Awak nak tahu? bapak kite kenal dengan Ustazah tu tau, dia bekas murid sekolah agama kite, maknanya dia tahu tentang jawapan tu!" Fuh! masa itu, Allah sahaja yang tahu betapalah leganya rasa hati. Harap tertebuslah maruah kami!.

Kami beramai-ramai pergi bertemu Ustazah dan menunjukkan jawapan tersebut. Seingat aku, Ustazah tak menunjukkan rasa kesal atau simpati langsung terhadap kami. Seolah-olah beliau tak pernah tahu tentang buku itu apatah lagi ujudnya jawapan sedemikian rupa!. Cit! tak apalah, tentu Allah akan membalasnya!. Nama kami benar-benar sudah tercemar di sekolah itu. Walaupun ramai yang tak tahu siapa yang menulis jawapan tersebut, tapi terasa bebenar seolah-olah semua orang sudah memandang kami bersalah.

Beberapa hari berlalu, kami tidak pasti apakah tindakan seterusnya akan dilakukan terhadap kami. Akupun sudah lupa apa yang berlaku selepas itu. Tetapi yang pasti, aku ingat selepas naik dari cuti sekolah, aku sudah tidak nampak lagi Ustazah. Mana perginya?. Aku terus mencari Midah sekiranya dia tahu. Midah memberitahuku "Ustazah sudah ditukarkan sekolah". Katanya pendek. " Sekolah mana?" tanyaku singkat." Tak pasti, tapi aku dengar sekolah jauh di luar bandar". Berbaur perasaanku, nak tergelak ada, nak bersedih simpatipun ada. Aku berdoa semoga Ustazah belajar dari kesilapannya.

Tetapi yang pasti, nama-nama kamisudah terpalit. Terkenal tapi tidak dikenali!.

Pasti ada yang tertanya-tanya apa sebenarnya jawapan yang kami tulis?.He he he!. Kalau nak ditulis di sini sememangnya boleh menjadi "XXX rated". Tetapi itulah hakikatnya, apa yang telah kami pelajari di sekolah agama dalam adab-adab semasa berpuasa. Ia berkait rapat dengan hubungan suami isteri dan adab adab pergaulan suami isteri semasa di bulan puasa.

Imbas semula jawapan tersebut pada hari ini, terasa begitu dahsyatnya "ilmu agama" kami ketika usia muda kami, begitu mendalam dan detail sekali. Malah, saihlagi aku ingat semasa bab itu dipelajar, Ustazah di sekolah agama siap dengan lukisan menerangkan "kedudukan" supaya kami mudah faham. MUDAH FAHAM???!!. ha ha ha!. Apabila difikirkan semula, waktu itu dengan sekolah agama bercampur lelaki dan perempuan, ketika subjek itu diajar, aku ingat, semuanya terkekeh-kekeh ketawa kecil. Apalah yang kami tahu dalam usia mentah itu?. Satu yang kami dapat dari sekoalh agama, kami mesti belajar semua itu, hafal dan ingat supaya kami lulus periksa. Kami tak tahu apakah impak pada diri kami, sejauh mana kami benar-benar faham tentang apa yang diberitahu oleh Ustazah kami ketika itu.

Hari ini aku rasa diriku amat bertuah. Dapatku rasakan sayangnya Allah lalu dipimpinnya aku untuk betul-betul menghayati agama-Nya. Aku bertemu semula dengan rakan lamaku setelah lebih 20 tahun tak bersua, walaupun hanya melalui Facebook, dapat kami rasakan lagi pengalaman pahit kami bersama. Bercerita semula tentang itu, kami berdekah-dekah ketawa. Pada waktu yang sama, aku bertanya sama ada sekolah agama sekarang masih lagi menggunakan kitab Mutaal Badrin sebagai buku wajib atau tidak. Beliau yang sekarang sudah bertaraf Professor berkata, sudah tidak lagi. Dalam hatiku rasa bersyukur. Kami berdua amat bersetuju , mungkin juga  ada yagn tak kena dengan buku itu. Apabila difikirkan tentang penerangan dalam buku itu, rasanya terlalu "advance" dan tidak masuk akal pula. wallahu a'lam.

Kesimpulannya, aku secara individu, tak tahu siapa yang patut disalahkan dalam soal ini. Apakah buku yang diajar di sekolah agama, atau Ustazah. Apa-apapun pengalaman pahitku ini, pastinya menjadi kenangan abadi dan pasti sahaja menjadi pengajaran buatku sewaktu menuntut sesuatu ilmu terutama ilmu agama.

Kalau zaman dahulu, segala ilmuyang disampaikan oleh mereka aygn bergelar Ustaz dan Ustazah itu pastinya yang paling betul dan patut diamalkan, tapi kini rasanya masyarakat lebih perihatin dalam menilai ilmu yang hendak disampaikan (mmmm.....mungkin tak semua masyarakat..:D). Masih ramai lagi di luar sana yang menimba ilmu dengan menimba tanpa menilai dan mengkaji sendiri kesahihan ilmu. Metaliti kita yang selalu suka disuap makanan ke dalam mulut, asalkan dari orang yang mereka nampak berjubah dan berserban, kita akan terus telan dan percaya, walaupun penerangan yagn diberikan selalunya tak masuk dek akal. Maka apabila datang ilmu yang terang kesahihannya dan logik, sudah sukar unutk mereka terima, kerana ilmu lama itusudah sebati dijiwa maka takut untuk mereka muntahkan semula.

Doaku semoga cerita ini memberi sedikit pengajaran dalam kita menimba ilmu. Semoga Allah memimpin kita dalam menilai ilmu dan mengamalkannya.

 "Sesungguhnya ilmu itu adalah agama, maka lihatlah dari siapa kalian mengambil agama kalian."
(diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Muqodimah Kitab Shohihnya 1/14).

Firman Allah Taala, maksudnya: ".. bertanyalah kamu kepada orang-orang yang berpengetahuan agama jika kamu tidak mengetahuinya."
(43, An-Nahl dan 7, Al-Anbia').

Yang baik itu dari Allah, yang jelek itu pastinya dari diriku. Wallahu alam.


5 comments:

  1. Kepada penulis budiman, yakinlah bahawa kitab mutaal badrin telah banyak berjasa pada anak bangsa. Saya kalau ada kuasa mahu mutaal badrin diajar semula disekolah agama dan diterapkan dalam J-QAF. Semoga Allah berkati penulis kitab Mutaal Badrin dan para pengajar dan pengamal kitab ini.

    ReplyDelete
  2. As Salamu Alaikum Warahmatullah saudara Lukman Yusoff Osman. Jazakallahikhair kerana sudi singgah ke pojok blog saya yang seadanya.

    SubhanaAllah, semoga Allah melimpahi Rahmah kepada penulis kitab ini, mungkin dalam usia sebegini, sekrianya diberi izin saya mentelaah semula kitab tersebut, mungkin akan lebih memberi makna dan pengertian. Banyak yang saya telah lupa isi kandungannya, namun pada pemikiran saya, jika mahu kitab ini digunakan semula, biarlah bersesuaian dengan peringkat usia pelajar agar kitab ini dapat benar-benar memberi manfaat.
    Saya sekadar bercerita pengalaman saya mempelajari kitab ini diwaktu usia yang amat mentah sekali, sudahpasti segala ilmuyagn ditimpa sekadar menghafal untuk lulus periksa. Kalau Ustazah yang mengajar kami pada waktu itu sendiri tidak dapat menghargai tingginya ilmu dalam kitab tersebut,bayangkan anak anak baya kami ketika itu.

    InsayAllah kita boleh sama-sama berdoa semoga buku ini boelh digunakan semula tapi hanya untuk peringkat umur yang bersesuaian. InsyaAllah.Amin.

    ReplyDelete
  3. Kitab wajib lulus tu..Kenangan dulu..

    ReplyDelete
  4. As Salamu Alaikum Warahmatullahi Wabarokatuh Saudara & Saudari yang budiman..

    Subhanallah.

    Saya memang yakin bahawa Kitab Mutla'Al Badrin yang di karang oleh Keturunan Ulama Besar Nusantara dan Wali Allah (Syeikh Daud Al-Fathani yang sampai salasilahnya kepada Rosulullahi S.a.w) itu memang banyak barokah dan jasanya kepada Rakyat Johor dan juga kepada sesiapa yang mempelajari dan mentelaah kitab tersebut.

    Ianya memberikan asas yang kukuh bagi Umat Islam dalam mengenali dan mengamalkan Ilmu Islam itu sendiri (Kitab Fardhu Ain yang agak Kemas) bagi golongan orang Awam/Umum.

    Semoga kitab ini diguna pakai semula dalam Sekolah-sekolah Agama Johor dalam memantapkan ilmu Islam bagi golongan awam/umum dan secara langsung dapat menyelesaikan masalah sosial dan masalah buta Ilmu Fekah di kalangan rakyat jelata.

    Ilmu didalamnya juga dapat menolak segala fitnah yang di bawa oleh pahaman-pahaman Wahabi dan Syiah.
    Ianya dapat membezakan Ilmu Aliran Ahli Sunnah Wal Jamaah dengan pahaman-pahaman yang terkeluar daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah di zaman fitnah ini.

    InsyaALLAH sesiapa yang mengamalkan ilmu di dalamnya akan beramal dengan cara Amalan dan Aqidah Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada Mazhab Syafiee.

    Jika tak mengenali pengarang kitab ini, eloklah kenali siapakah Syeikh Daud Al-Fathani kerana Kitab ini merupakan serba sedikit syarah daripada kitab-kitab besar karangan Syeikh Daud Al-Fathani.

    Pengarang Kitab Mutla' Al Badrin ialah Abdul Faqir al-Fatani Muhammad bin Ismail Daud Fatani, iaitu cucu kepada Syeikh Daud Al-Fathani.

    Masa saya belajar kitab tu pun di sekolah agama di Johor, saya pun tak tau siapa pengarangnya :-).

    Setelah berusia lewat 36 tahun, saya berjumpa dengan beberapa Tok Guru Pondok kerana celaru dengan macam-macam fahaman dan ilmu yang tak tau puncanya (pahaman Wahabi dan Syiah), masatu barulah saya dapat tau siapa pengarangnya dan siapakah pula Syeikh Daud Al-Fathani.

    Saya rasa bersyukur sangat kerana telah pernah belajar Kitab tersebut dalam bab Fardhu Ain (Munakahat, Muamalat, Jenayat, dll) daripada Kitab tersebut. Ianya memberikan pengisian ilmu asas yang kukuh dalam jiwa anak-anak Johor (pada zaman saya).

    Sehingga kini saya ada menyimpannya. Malah saya masih mencari-cari lagi kitab tersebut sekiranya ada orang mahu menjualnya

    Ini Kitab Yang Dinamakan Dia KITAB MUTLA' AL-BADRIN
    pada menyatakan Kelebihan Ilmu
    dan menyatakan Rukun Islam
    dan Rukun Iman
    dan Ilmu Tauhid
    dan Ilmu Feqah
    karangan Abdul Faqir al-Fatani Muhammad bin Ismail Daud Fatani.

    Seingat saya, sewaktu di Johor, Kitab ni biasanya di ajarkan kepada pelajar yang berumur 13 tahun ke atas sahaja (darjah 4,5& 6 sekolah Agama). Pada usia itu, pelajar mula masuk ke peringkat akhir baligh.Sedih betul bila saya balik Johor dan dapati kitab ni dah tak digunakan lagi di sekolah agama di Johor.

    Yakinlah bahawa amal ibadah kamu sah bilamana kamu lakukan ia melalui ilmu dan faham yang disampaikan melalui kitab tersebut.

    Banyak lagi kitab-kitab besar dan lengkap yang boleh ditelaah dalam bab Feqah ini.
    Walaupun kitab tu dalam kategori kitab kecil feqah, tapi kandungan dan asas dalam kitab tersebut agak lengkap dan kukuh. Tidak lari dari paham Ulama-ulama Feqah Ahli Sunnah Wal Jammah Mazhab Imam Syafiee.

    Penutup kata: Ustazah kamu tu (pada ketika itu) memang sengal, buta ilmu dan tak layak di gelar Ustazah. Moga dia dan kita semua diberikan Hidayah, ditambahkan ilmu yang hak, sentiasa dalam rahmat dan redho Allah S.w.t. Amin13x.

    Barakallah.

    MDHanif
    tanggabaratcluster@googlemail.com

    ReplyDelete
  5. Waalaikum salam warahmatullahi wabarakatuh. Jazakallahi khair Encik Mdhanif kerana sudi memberi sumbangan dalam ruangan blog saya yang tak seadanya.

    InsyaAllah, bukan niat saya menunding jari. Sekadar mahu masyarakat atau mungkin para guru,ustaz serta ustazah menilai semula waktu atau tahap kepentingan buku ini untuk diajar kepada anak-anak kita.

    Kitab yang elok tapi sekiranya penyampai tidak dapat menyampaikan dengan baik pada waktu yagn sesuai dengan tahap pemikiran pelajar, juga tidak dapat membawa kesan yang mendalam dalam jiwa penerimanya.

    InsyaAllah sehingga hari ini, sedikit sebanyak saya masih lagi boleh mentelaah kitab ini. InsyaAllah ilmu bahasa jawi saya masih kuat...:D. Amin ya Rabb alamin untuk doa tuan.

    ReplyDelete

Sudi-sudikan menulis kembali kepada saya.....