CERITAKU : Mandikan nenek (Bah. 2)

Beberapa bulan berlalu, Nenek Nab sudah kurang bertenaga, usianya benar-benar mengekang pergerakan, akhirnya nenek hanya bisa terlantar di tilam kecil yang ditempatkan di atas lantai. Urusan qada' hajat semuanya dibuat di situ. Rumah atok rumah ala kampung di tengah bandar. Bertiang dan berkolong. Tok Aji membuat lubang di lantai bilik nenek dengan mengerat papan dan memasang atap zink di bawah rumah sebagai saluran terus menuju ke longkang besar. Sebaldi air selalu berada di tepi lubang untuk memudahkan nenek membersihkan diri.

Sayu melihat nenek terlantar, tiada lagi kopi yang bisa masuk ke batang tengkorok nenek, sekadar bubur cair sahaja. Bunyi gobek juga sudah tidak kedengaran, tiada sirih tiada kotak mancis.

Satu hari, nenek nampak pucat, menahan sakit seolah-olah cuba meneran. Sudah puas Tok Nah bertanya di mana sakit Nenek Nab. Nenek Nab tak bisa bersuara cuma mengerang kesakitan.

Kami bergilir-gilir mengurut nenek. Dari tengah belakang ke tongkeng punggung, dari tapak kaki ke tapak tangan, tiada juga kurang. Tok Nah kemudian bertanya "Mak nak buang air besar ya?". Tiba-tiba nenek menganggung. SubhanaAllah, rupa-rupanya nenek tak lawas buang air besar. Sembelit. Mungkin kurang minum air.

Macam-macam kami cuba untuk melawaskan perut nenek. Aku tidak ingat berapa hari lamanya nenek menahan sakit. Satu tindakan drastik terpaksa diambil. Seisi keluarga "mengatur" kedudukan nenek. Kasihan nenek. Kami tak henti - henti mengurut badan nenek. Agak lama mengurut dan menanti bagai buah yang tak gugur. Nenek semakin kelihatan pucat dan lesi. Kebimbangan mula menyerlah di muka semua yang ada di bilik. Masing-masing kumat-kamit membaca doa. Kasihanilah nenek kami ini ya Allah. Permudahkan ia berqada' hajat. Tiba-tiba, berdebuk-debuk bunyi sesuatu jatuh bergolek!.Tertegun, masing-masing ternganga-nganga mencari dari mana arah bunyi tersebut.

Kami berpandangan, nenek terus rebah setelah menghela nafas panjang. Kelegaan. Tiba-tiba muka nenek yang tadinya pucat terus menjadi cerah, merah. Darah mula mengalir ke suluruh badan nenak . Hilang pucat.

Alhamdulillah!. Kami semua memanjat syukur!.

Nenek mula bisa tidur lenyak. Tidak lagi berdengus dan mengerang. Kami biarkan nenek berehat. Nenek kami selimut dan berlalu dari bilik. Kami berkumpul di dapur. Duduk. Tiba-tiba Tok Nah memecah kesunyian. "Padanlah pucat muka nenek kau, na$%snya sebesar buku lima!!!. he he he ! Berhembur gelak kami tidak boleh ditahan lagi. Nenek...nenek. Kasihan nenek. Selepas ini Tok Nah mengarahkan supaya nenek diberi minum air yang banyak supaya "batu" sebesar buku lima tidak akan berlaku lagi!!.

Kami rindu nenek. Al-Fatihah. Semoga Allah menempatkan Nenek Nab bersama orang-orang yang beriman. Amin.


Teratak berzaman di mana aku dibesarkan.

No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikan menulis kembali kepada saya.....