CERITAKU : Mak Pah gila talak (Bah. 2)

Mak Pah (bukan nama sebenar) hadir dalam hidupku. Sejak pulang ke tanah air, Mak Pah selalu bertandang ke rumah. Usianya ketika itu mungkin sekitar 50'an. Pelik orangnya, selalu sangat "bergurau senda" setiap kali berbicara dengan orang lelaki. Namun dia rajin bantu ibuku di rumah. Kalau Mak Pah bertandang ke rumah, dia mesti tolong ibu lipat baju, basuh pinggan dan kemas rumah. Sekiranya adik lelakiku berada di rumah, maka lebih lamalah Mak Pah bersempuh di rumahku. Cuba mencari jalan untuk berborak dengan adikku yang ketika itu baru berusia dalam belasan tahun rasanya. Kadang-kadang sampai naik takut adikku dibuatnya..hehehe, tak bertah dia duduk di rumah sekiranya nampak kelibat Mak Pah.

"Mak, Mak Pah tu,betul ke tak betul?". tanyaku tanpa beralas. "gila talak.." jawab mak ringkas. "Gila talak tu macam mana?".  Dengar ceritanya, Mak Pah dahulunya pernah berumah tangga dengan seorang lelaki yang amat dicintai. Namun walaupun sudah berumah tangga, cintanya sentiasa terhalang oleh ibu bapa mertuanya. Mereka paksa suami Mak Pah ceraikannya. Tak pasti aku, berapa lama mereka bersama, akhirnya sang suami akur dan tunduk, langsung diceraikan Mak Pah.

Sejak hari itu, Mak Pah tinggal bersama anak lelakinya yang penyayang. Walaupun Mak Pah menerima kasih sayang dari anak lelakinya, namun Mak Pak tidak dapat melupakan bekas suami sehingga membawa kepada kemurungan berterusan dan akhirnya mengakibatkan Mak Pah jadi kurang siuman. Pantang bersua dengan lelaki, Mak Pah mesti sahaja mencari idea untuk berborak dan bergurau mesra. Mak Pah selalu memakai gincu merah dan tak pernah putus lemparkan senyuman walaupun sudah kurang gigi depannya.

Suatu malam, Mak Pah bergegas ke rumahku. " Man! Man!" teriak Mak Pah memanggil adikku, Osman (bukan nama sebenar). Semua keluargaku meluru ke depan pintu rumah kecuali adikku. "Kenapa Mak Pah?" Tanya bondaku. "Kak Chom!, saya nak suruh Man kawin dengan saya malam ni , boleh?". Ha ha ha!. Tergelak besar kami semua dibuatnya. "Kenapa nak kawin dengan Man pulak?" tanya bonda yang sudah mula bingung dan pening lalat melihat gelagat Mak Pah. " Aku mengandung!".

Hah?! Berderau darah ibu mendengarnya!. " Biar betul Mak Pah!  jangan main-main!" ibu mula rasa panik. "Orang kampung kata aku mengandung Chom!". "Habis...betul ke Mak Pah mengandung?". Ibu cuba mencari kepastian. " Orang kampung kata aku gemuk semacam, akupun tak tahu", tambah Mak Pah. Terdiam aku mendengar tuduhan tersebut. Sampai hati betul "orang kampung" yang melemparkan tuduhan itu pada Mak Pah!. Aku jadi mati kutu. Osman, adikku, terus tak terkata apa-apa. Ibu dan ayahku tergamam dibuatnya.

"Mak Jah!, esok Echa bawa Mak Pah pergi jumpa doktor!". Tiba-tiba Kak Long bersuara keras. Dalam benak fikiranku tertanya-tanya apakah sudah tak siuman jugakah kak Long aku ni, nak bawa orang gila berjumpa doktor?."Kita tanya doktor dulu, betul ke tak Mak Pah mengandung, Mak Pah balik dulu ya?" pujuk kak Long. Aku cuma mampu...terlopong! Tergamam sebentar memikirkan sekiranya betul apa yang kudengar itu keluar dari mulut Kak Long. Mana ada orang buat begitu?. Tak malukah Kak Long berjalan dengan Mak Pah?. Apa orang kampung kata nanti?.

Keesokannya, seperti yang telah dijanjikan , Kak Long membawa Mak Pah pergi  berjumpa doktor. Perhentian bas terletak di hujung kampung. Sepanjang jalan keluar dari kampung, terdengar suara sumbang orang kampung. Sudah dijangka! " Ke mana ko nak bawak Mak Pah tak betul ni Echa?". Kak Long tak menjawab, dipercepatkan langkah, bas datang mereka terus meluru naik.

Klinik doktor tak jauh tapi menunggu Kak Long balik , semacam pergi Klinik di seberang tambak rasanya!. Apabila Kak Long pulang, Mak Pah nampak gembira saja. "Dia tak mngandunglah! Doktor kata Mak Pah tu nampak gemuk sebab dia ambil ubat sejenis steroid , kesan sampingan dia, badan dia naik!" Terang Kak Long dengan suara kesal. Mungkin kesal dengan sikap orang kampung yag suka menuduh. Alhamdulillah!! Semua orang menarik nafas lega. Mak Pah tersenyum menyeringai menampakkan beberapa batang giginya yang tinggal...lucu sekali kelihatannya!Mak Pah peluk-peluk Kak Long. "Thank you! Thank you Echa!" Mak Pah  boleh "speaking London" rupanya!.

Esok, seperti biasa Mak Pah bertandang ke rumah. Mak Pah tunjukkan surat. Surat yang ditulis untuk dihantar  kepada doktor yang telah memberinya berita gembira. "Pandai Mak Pah cakap omputih ya?" Gelak ibu. Mak Pah tersenyum.."bolehlah little-little...!". Surat itu surat terima kasih Mak Pah pada doktor.

Kesian Mak Pah, mangsa fitnah orang. Besar sungguh dosa orang yang menfitnah, apatah lagi menfitnah orang seperti Mak Pah ini!.


( Surah Al Baqarah ayat 191)

Antara lain maksudnya Allah berfirman :

"Dan bunuhlah mereka di mana sahaja kamu temui mereka, dan usirlah mereka sebagaimana mereka telah mengusir kami. Dan fitnah itu lebih buruk daripada pembunuhan. Dan janganlah kamu perangi mereka di sekitar Masjidi'l-Haram, kecuali mereka memerangi kamu di sana. Jika mereka memerangi kamu (di sekitar Masjid'l-Haram itu), bunuhlah mereka. Demikianlah balasanm bagi orang kafir."


Apa yang  telah berlaku kepada Mak Pah dan Kak Long, benar-benar mengetuk benak fikiranku. Sungguh Mak Pah seorang yang tabah dan begitu lurus sehingga ramai yang mengambil kesempatan akan kelurusan sikapnya. Sementara Kak Long....sikap spontan Kak Long betul-betul di luar jangkaanku. Sejenak terlintas di fikiran, Kak Long mungkin tidak banyak agamanya namun perbuatannya sungguh menggambarkan akhlak Islam yang sebenar. Keikhlasannya terserlah mungkin dia sendiri tidak menyedarinya. Bagaimana dengan aku ?........


No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikan menulis kembali kepada saya.....