Friday, January 31, 2020

CERITAKU: Kasih Bonda (Bahagian 2)

"Anak-anak Zah semua nama omputih, Dah.., kalau berlaku apa-apa siapa nak tahu diorang ni orang Islam..." sambung makcik Esah. Tak terlintas langsung dalam benak fikiranku akan hal itu.
Kalau di bumi Pakcik Sam ni, nama 'orang putih' memang sudah biasa diberi kepada anak-anak yang ibu bapa Islam. Mungkin untuk lebih senang berasimilasi dengan masyarakat umum.

"Makcik tak usah risau, insya Allah diorang tu ok, Insya Allah. Biasalah tu kalau berselisih faham suami isteri.." Jawapan lewahku. Tidak sedikitpun aku rasa curiga waktu itu.

"Makcik nak tanya lagi ni, Dah.." sambung makcik. "apa dia cik?, kalau saya boleh bantu..." jawabku. "Agak...dosa tak makcik Dah....makcik ni nak tinggal lama sikit kat sini, tapi pakcik kena balik Singapore sebab ubat dia dah habis. Tak sampai hati nak tinggalkan Zah..." tersentap aku mendengarnya. Kenapa makcik tanya aku soalan sedemikian?

"Makcik dah minta izin pakcik nak tinggal sini?" tanyaku. "dah!" jawabnya ringkas. "pakcik kata apa?" tanyaku lagi. "Dia kata tinggallah, dia tak kisah..." jelas makcik. "Haa..oklah tu! pakcik dah izinkan, maknayna...dia redha" Makcik mula tarik nafas panjang. Mungkin lega mendengar jawapanku. "Kalau terjadi apa-apa, Dah tolong tengokkan Zah dan bebudak tu ya Dah?" waktu itu...permintaan makcik aku anggap bagai soalan biasa, terlintas dalam benak fikiran kalau itu satu petanda. Petanda selepas lebih kurang 5 bulan sebelum kejadian. Aduh! betapalah aku ni tak peka, terkilan rasanya.

Berita

Berita pembunuhan Zah dan bondanya masih belum kuperoleh sepenuhnya.Abang Man, satu-satunya abang Zah di Singapura sudah dapat kami hubungi. Luluh hatinya, tergamak suami sendiri buat kerja durjana! Bagaimana harus disampaikan kepada ayahandanya yang sudah uzur? Allahu akbar! Abang Man kata ayahandanya sangat tenang menerima berita hitam itu. Beliau redha, katanya dia sudah bersedia. Mungkin ayahanda juga sudah menjangka namun urusan takdir Allah tak siapa yang bisa menghalang.

Malam itu, sedikit demi sedikit berita pembunuhan kejam itu kuperoleh. Aku masih tak tahu motif Zah dan bondanya diperlakukan sedemikan rupa.

Berita  kejadian sudah mula berlegar-legar di kaca TV. Fikiran ku melayang cuba membayangkan, Tak tergambar rasanya. Aku mula teringat amanat makcik kepadaku. " Macam mana dengan cucu-cucu makcik Dah?" Aduh! tiba-tiba terngiyang ngiyang kata-kata itu. Apa berlaku kepada anak-anak ini? Di mana mereka sekarang?

Rasa bersalahku bukan kepalang! Macam mana aku terlepas pandang?

' Dah... Shawn, Britney dan Matt sudah diambil oleh pegawai Kebajikan Masyarakat, diorang ditempatkan dengan dua keluarga tentera" Ron memberitahuku akan perkembangan anak-anak malang itu. " Mereka dipisahkan? Duduk dengan keluarga tentera? Mereka Islam ke?" seribu pertanyaan kusemburkan. 'Nampaknya macam tu...tapi tak pasti siapa tinggal dengan siapa. Kita mesti cuba dapatkan bebudak tu!" tegas Ron. "tapi...macam mana?






Sunday, July 28, 2019

CERITAKU: Kasih Bonda (Bahagian 1)

Sudah lama berdiam bagai pekasam, tidak meluah rasa, tidak bersuara. Bukannya tak ada idea untuk mencoret cerita, tapi keluangan masa selalu buat semuanya tertunda.

Kumulakan siri kisah kehidupan masyarakat dengan mengimbas kembali kenangan sewaktu aku bermastautin di Hawaii.

Nota: Kesemua nama mereka yang terbabit dalam kisah ini bukanlah nama sebenar.

Tahunnya, 2002, pada suatu pagi yang benar-benar hening,aku dikejutkan dengan satu panggilan talipon yang telah mengubah rentak kehidupanku.

'As Salamu alaikum Dah, Kak Rah nak bagitau ini, jangan terkejut eh? makcik dah tak ada Dah..' suara kak Rah tersekat-sekat keluar dari corong talipon. 'Makcik mana?' ujarku yang masih lagi agak mamai. 'Makcik Esah, Dah! dia dah meninggal!'

Aku masih termangu, 'Dah meninggal? Bila? Macam mana dia meninggal? Zah kat mana?' Bertubi-tubi soalan aku lepaskan. 'Zah, pun dah meninggal Dah!!' sambung kak Rah.

'Huh?!' Kecelaruan mula menyelinap dalam benak fikiranku. 'Macam mana boleh meninggal?' Soalan bodoh semua keluar!

'Dah...mereka  dibunuh Dah!..' Kak Rah tak dapat nak teruskan lagi dia terus tersak-esak. Aku juga terduduk, melayang sekejap ruhku, bagai di alam mimpi. Masih sukar membawa tubuh ini balik ke bumi nyata, perkataan 'dibunuh' bagai tak masuk akal!

'Dah?...' Kak Rah mula bersuara kembali, pastikan aku masih di talian. 'Kak Rah nak nak minta tolong ni Dah, kak tak tahu nak buat apa..., Kak tak pasti lagi, kak dapat berita nipun dari Lin yang duduk kat Virginia, awal pagi tadi dia telefon kak...'  sambung kak Rah.

'Kak, siapa yang bunuh kak? Kenapa kita tak dengar apa-apapun? Macam mana Lin tahu?' aku mula dapat redakan perasaanku sendiri, tapi soalanku pada kak Rah masih bertubi-tubi.

'Suami dia bunuh Dah! Lin kata, suami Lin dapat tahu daripada jabatan dia, ini berita dalamanlah Dah, hanya orang military dia je tau...itu yang dia call Kak Rah, suruh buat kepastian...dia nak pastikan yang berita itu memang Zah dan makcik! Siapa lagi orang Singapura yang tinggal kat 'base' ni Dah...kalau tak mereka?'

'Allahu akbar!Innalillahi wainna ilaihi roojioun..., macam mana ni kak Rah? Kitapun bukan rapat sangat dengan Zah' Otakku berjalan ligat mencari jawapan, siapa gamaknya yang boleh membantu? Aku benar-benar tak tahu sesiapa yang tahu tentang Zah di sini.

'Kak Rah! Nanti saya call balik! Saya nak bagitau Ron, mungkin dia boleh tolong sebab dia baisa dengan hal 'military' ni...'

Ron suamiku, bekas tentera Amerika, beliau ni tahu banyak hal. Orangnya memang suka bantu mereka yang dalam kesusahan. Itu yang buat aku 'admire' sangat dengan sifat kemanusiaannya. Dipendekkan cerita, tanpa lengah, Ron gunakan segala sumber untuk mencari jalan menghubungi pihak ketenteraan di mana Zah dan keluarga tinggal. Tak sampai sejam, Ron buat pengesahan tentang khabar ngeri tersebut.

Terduduk, terdiam,tergamam, tergamak, berligat 1001 soalan dalam benak fikiranku. Macam mana ni sekarang? Alhamdulillah, Ron tak panik, dia masih terus berurusan dengan pihak ketenteraan dan pangkalan untuk mengesan waris Allahyarhamah Zah di Singapura.

Siapa Zah?

Zah, wanita warga Singapura yang baru 2 tahun berpindah ke bumi Hawaii mengikut suaminya yang bertugas di sini, seorang tentera laut. Zah ada 3 orang anak, umur mereka lebih kurang dalam lingkungan usia anak-anakku juga. Yang sulung Shawn 8 tahun, kedua Britney, 6 tahun dan si kecil Matt 2 tahun.

Sebenarnya, aku tak ramai kawan dari Singapura, kalau adapun tak begitu rapat. Namun, Zah lain orangnya. Sejak berpindah, dia selalu menjemputku ke majlis jamuan di rumahnya. Malah sehinggakan kalau aku tak dapat hadir sebab waktu tak mengizinkan, Zah sanggup menukar hari untuk pastikan aku datang!Nak kata aku rapat dengannya, tak juga, kami tak pernah berbual hal-hal peribadi. Kalau adapun, Zah pernah luahkan hasrat untuk belajar agama dan minta tolong suamiku ajarkan sembahyang kepada suaminya.

Hmm....bukan senang, maka kami suami-isteri mulakan perlahan-lahan dengan beramah mesra dan hadir semua majlis mereka. Dalam dua tahun tu mungkin dalam 4  kali kami berjumpa...

Pernah sekali, aku hadir jamuan hari lahir anak perempuannya. Masa tu ibu bapa Zah datang melawat. Itulah pertama kali aku bertemu dengan makcik Esah. Wanita tua berbadan kecil berbongkok sabut, dalam lingkungan usia 70an. Lembut wajahnya, keturunan Cina Muslim rupanya. Pakcik Ali pula tinggi lampai, agak sudah rabun dan kurang pendengaran. Usianya sudah menjangkau 90an! Masha Allah! masih kuat lagi ingatannya.

Masa jamuan tu, lepas tumpang solat Asar di rumah Zah, kelihatan makcik Esah duduk bersempuh di belakangku. Dia menunggu aku habis solat rupanya.

'Dah...makcik tanya sikit boleh?' suara makcik Esah lembut. 'Kenapa makcik, makcik OK?' tanyaku semula. 'Makcik risaulah, Zah selalu bagitahu makcik yang suami dia tu selalu bergaduh dan ancam nak bunuh dia...'Tersentak aku mendengarnya. Kalau melihat gelagat suami isteri ini, sukar nak bayangkan yang mereka ini ada masalah rumah tangga, tapi tak mungkin makcik nak tipu pulak.

'Mereka selalu bergaduh Dah, makcik risau kalau ada sesuatu berlaku pada Zah dan makcik, macam mana bebudak ni..." Dia terhenti di situ. Aku kurang faham maksud makcik. "Kenapa dengan bebudak tu makcik?





Wednesday, July 18, 2012

Nak panggil apa ?

Kak Long dan aku memang suka merayau semasa kami kecil, mungkin dalam usia 8 atau 9 tahun. Kebanyakan anak jiran semua lelaki. Jadi bila bertemu dengan anak jiran yang perempuan, seronok rasanya kalau dapat berkawan.

Di hujung jalan tersergam sebuah rumah batu besar. Nampak uzur tapi berpenghuni. Di simpang jalan, depan rumah tersebut , ada pokok rendang dan rimbun. Setiap kali melintasi jalan di simpang tersebut, bulu roma boleh meremang. Rumah batu besar itu selalu nampak sunyi. Seorang ibu dan anak perempuannya menetap di situ. Jarang nampak kelibat makcik, tapi kalau nampak, makcik selalu mengenakan kebaya pendek, dengan solekan rapi.

Pernah sekali kami bermain dengan anak perempuannya. Ingin juga bertanya mana pergi ayahnya, tapi selalu tak terkeluar soalan itu dari mulut. Tapi dengar dari desas-desus orang kampung, makcik itu janda. Janda berhias!.

Tapi ... ketika itu , kami masih kecil lagi, apa ada pada gelaran, bagi anak cilik seperti kami, semua orang itu sama sahaja, tak kisah apa yang orang dewasa gelarkan mereka.

Satu hari , Kak Long mengajak aku pergi ke rumah kawan baru kami. Kami suka ikut jalan belakang rumah orang. Sambil melibas-libas kayu entah dari mana Kak Long dapat, Kak Long bertanya, " Ida!, kita nak panggil apa makcik tu ek?. Nama budak tu pun kita tak tahu!". Aku menjawab selamba, " Entah! tapi kan orang cakap dia janda kan?". Kami terus berjalan laju, pada waktu yang sama mataku asyik memerhatikan pokok-pokok daun kesum yang tumbuh melata sepanjang peparitan di situ. Aku suka makan daun kesum yang dimasak dalam lauk asam pedas. Leka berjalan, sedar-sedar kami sudah berada di depan pintu.

Tak sempat aku mencari akal tentang panggilan apa hendak aku beri pada makcik, tiba-tiba terhembur keluar dari mulut Kak Long, " Mak Janda....O...Mak Janda!. Boleh kami main dengan anak Mak Janda tak?".

Makcik tak menyahut kami. Kak Long ulangi laungannya " Mak Janda...O.....", Kak Long tak sempat habiskan laungannya apabila tiba-tiba...  Pang!Pang!. Pipi-pipi kami terasa panas dan berdesing. Terasa bintang-bintang berputaran di kepala. Ku menoleh mencari Kak Long. Terduduk kak Long di atas pokok kesum!. Lencun, habis baju kena lopak!.

"Kurang ajar ya..apa kau panggil aku? Mak Janda?. Siapa ajar kau panggil orang Mak Janda huh?". Mak Janda menyingsing lengan, kami berpandangan, tak tunggu lama..Kami terus pecut!.

Fuh! Sesampai di rumah kami termengah-mengah!. Ibu tanya kenapa?. Kami cerita. Ibu ketawa berdekah-dekah. "Siapalah suruh korang panggil dia Mak Janda?".Kami masih tak faham. Sambil mengusap pipi kami yang merah, ibu jelaskan istilah Mak Janda. Kisahnya! he he he!. Maaflah makcik, kami ini anak yang lurus bendul!. Nasi sudah menjadi bubur, sejak hari itu, kami kehilangan kawan perempuan yang cuma seorang. Kata orang : Cakap siang-siang pandang-pandang, cakap malam ....

Sekadar gambar hiasan.

Friday, July 13, 2012

Aku 3P.

Sekolah sudah tamat. Seronok, ini hari kedua aku mula alam persekolahan. Sudah berasa yakin dan berani sikit untuk berkawan. Apatah lagi apabila emak berada di dalam bas sekolah mengambil aku pulang dari sekolah. Aku lebih selesa kalau mak bersama aku. Naik bas sahaja, mulutku mula bising, macam-macam nak aku ceritakan pada mak. Macma murai cabut ekor lagaknya!, sehingga pakcik pemandu bas berkata,
" Kak Chom  kata si Ida ni pendiam, pemalu dan penakut, macam tak nampakpun!". Aku berpaling ke arah pakcik bas dan berkata "huh?"...he he he.


Tuesday, July 10, 2012

Kebiasaaan vs. Realiti

Terkenang telatah anakku yang kedua, sewaktu usianya 5 tahun. Selepas tamat pra-sekolah, biasanya dia akan berada di sekolah untuk program selepas sekolah. Waktu itu hampir perayaan Krismas. Pasti sahaja anak-anak di sekolah tak sabar menunggu Krismas apatah lagi menuggu Santa Claus. Ramai anak-anak masih lagi di"komersial"kan dengan kewujudan Santa.
Anakku, lain kisahnya, sedang anak-anak lain sibuk bercerita apa yang mereka inginkan untuk Krismas, anakku sibuk "berceramah". "Santa itu tidak wujud sama sekali,itu hanyalah khayalan semata-mata," hujah anakku. Dengan suara lantang, rakannya membantah," Itu tak benar!". "Betul!" balas anakku."Tak benar!!!" balas rakan, "betullll!" bentak anakku. Tanpa disedari, mereka terperangkap dalam lemparan "hujah-hujah" yang akhirnya mengakibatkan rakannya menangis kerana tidak tahan dengan asakan anakku.

Suamiku menerima panggilan telefon dari sekolah langsung bergegas ke sana, setibanya, penjaga kanak-kanak memberitahu suamiku. " Anak awak telah membuat rakannya menangis!". "Oh! Apa yang telah anak saya buat?," tanya suami.
Penjaga terus memberitahu " Anak awak cuba menafikan kewujudan Santa..". Suami tercengang "Jadi??...". " Awak sekurang-kurangnya menasihatkan anak awak supaya tak perlu berkata seperti itu di hadapan kanak-kanak ini.." tegasnya.  Suami mula berasa panas di telinga. " Apa yang anak saya cakap itu adalah benar, dan saya tidak akan mengikut cakap awak untuk mengajar anak saya supaya tidak bercakap benar!, Penjaga itu terus terdiam. Terkedu.