CERITAKU :Ribut yang melanda...


Antara pukul 9.30 malam dengan 11 malam, malam Jumaat, 29hb. Julai, 2012, kami dikejutkan dengan dentuman yang kuat diikuti dengan angin kencang selaju 60-80 batu sejam. Aku yang tidur awal malam itu tersedar apabila anak-anak lari bertempiaran ke ruang tamu dari bilik masing-masing akibat ketakutan. Terasa juga gegaran rumah kami.

Akibat ketakutan, tak seorangpun berani pulang ke bilik masing -masing untuk sambung tidur. Dalam ketakutan itu, mereka berjaga sehingga pukul 5 pagi rupanya! Musim panas, waktu fajr terlalulah awalnya. Pukul 4.15 pagi sudah masuk waktu fajr!. Terus sahaja kami tunaikan solat fajr berjemaah. Setelah selesai, masing-masing baru terasa kelaparan. Terus kucadangkan pergi ke IHOP untuk makan pagi.

Di luar masih lagi gelap lagi. Melangkah sahaja kaki kami di luar, masih terasa kelembapan di udara. Sepanjang perjalanan, baru kami sedar, terlalu banyak serpihan ranting dan dedaun di jalan. Lampu isyarat banyak yang tak berfungsi. Ada juga pokok-pokok yang tumbang. Wah! teruk benarkah ribut semalam? Banyak juga rumah yang bergelap, bukan kerana orang masih tidur tapi bekalan elektrik terputus rupanya!.

Hmmm...bukakah restoran kalau tak ada bekalan elektrik?. Anak-anak tak berkumat-kamit, masing-masing kehairanan melihat keadaan sekeliling, macam kampung dilanggar todak!. Sesampai di restoran, memang sah tak buka!. Kami terus merancang untuk teruskan perjalanan ke timur, mana tahu di sana mungkin tidak seteruk dari keadaan di sini. Jangkaan kami tepat sekali!. Kawasan ke timur kami tidaklah seteruk kawasan kami! Seluruh bandar ini masih lagi "berlampu".

Maka kamipun terus menikmati sarapan pagi. Antara menu, Swedish crepe (kegemaran semua anak-anak), Omelet dan buah-buahan. Tasneem, satu-satunya puteri kami, tiba-tiba memecahkan kesunyian pagi dengan kerenahnya. " I do not like pineapple". Nuruddin, anak ketiga kami , cepat-cepat menyampuk " How can you not like pineapple, huh?". Seifuddin yang sememang banyak akalnya juga terus mencelah " If you are Hawaiian, it is illegal for not to like pineapple!". ..ha ha ha! ketawa besar aku dibuatnya. "Once Hawaiian always Hawaiian".

Dalam perjalanan pulang kami dari IHOP, baharulah kami mendapat berita tentang keadaan yang sebenar. Ribut semalam bukan calang-calang ribut. Ribut yang tak diundang ini rupa-rupanya setanding taufan kencangnya!. Diberitakan ribut ini dipanggil ribut Derecho yang membawa kelajuan angin selaju 60 sehingga 80 batu sejam!. Terjawablah sudah kerosakan yang melanda!. Dalam hatiku , Alhamdulillah, Allah melindungi kami sekeluarga. Dengarnya 13 orang maut dan beratus ribu penduduk yang kehilangan bekalan elektrik. Betapalah kami bersyukur, dalam keadaan musim panas yang membahang ini, Allah mengizinkan kami menikmati bekalan elektrik. "Sesungguhnya kepada-Mu kami datang, kepada-Mu juga kami kembali".


Pokok ini tercabut dari akarnya. Kejadian ini hanya beberapa batang jalan dari rumah kami.

Trampoline yang tersadai di atas pokok. Gambar ini diambil di sekitar DC.

Satu lagi pandangan pokok-pokok yang tumbang berhampiran dengan kawasan rumah kami.

No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikan menulis kembali kepada saya.....