CERITAKU : Mandikan nenek (Bah. akhir)


Nenek terlantar sakit agak lama juga. Keluargaku sudah berpindah dari rumah atok. Namun hampir setiap hujung minggu kami pergi melawat atok dan nenek.

Malam nenek nazak, aku dan keluarga berada di sana. Aku ingat mak asyik mengaji Quran di sisi nenek. Mak kata, nafas nenek sudah "berombak". Kuperhatikan nenek, matanya hampir tidak boleh dibuka. Sepupu perempuan sulung, kak Ngah Lat, merapati telinga nenek sambil mengucap syahadah. Aku tak pasti nenek masih boleh dengar atau tidak. Seketika kemudian, dada nenek tak berombak lagi. Semua orang periksa nenek, dari dada hingga ke nadi tangan. Kemudian, semua orang seolah-olah mengiyakan pemergian nenek."Innalillahi wa'inna ilahi rooji'oun".

Sekujur badan terbujur kaku. Atok Nah kelihatan menangis begitu juga yang lain. Aku menangis juga, tapi dalam usia rebung, aku dan anak cucu yang lain , masih tak mengerti erti kehilangan.

Keesokan harinya, kami pergi lagi rumah Atok. Mak berpesan supaya kami bacakan ayat Quran di sisi mayat nenek. Aku cuma menganggung. Kak Long juga menganggung. Sesampai di sana, sepupu sepapat yang lain sudah berada di bilik arwah nenek. Kedudukan jasad arwah nenek sudah berubah. Diselimuti kain batik lepas, badan nenek diletakkan mengadap ke Kiblat. Tiada siapa di bilik nenek kecuali kita-kita si sepupu-sepapat. Yang lain, duduk di ruang tamu sambil membaca Quran.

Kami berkumpul mengelilingi mayat nenek. Kak Long duduk di hujung kepala, aku di sebelah. Che Ah, dan adik beradiknya duduk di hujung kaki nenek. Tugas kak Long membuka selimut kain batik lepas di bahagian muka sekiranya ada pelawat yang ingin melihat wajah nenek buat kali terakhir.

Kalau nama budak-budak, sememangnya budak-budak juga. Lurus bendul dan tak tahu takut, apatah lagi untuk mengerti erti kematian. Dalam masa kami duduk mengaji dan membantu "menjaga" nenek, sempat lagi kami "bermain-main". Sedikitpun tidak ada rasa takut melihat mayat di depan mata, terbujur kaku. Malah, kak Long dengan selamba, berpura-pura "mengejutkan" nenek. " Nenek, bangunlah nek!" gurau kak Long. Kami sememangnya sudah biasa melihat nenek tidur  berselubung. Mungkin juga dengan sebab itu, tiada timbul perasaan takut di hati. Terkekek-kekek kami ketawa. Makcik terdengar gelakankami, lalu terus meluru ke bilik. "Hai! apa korang ketawa nih?, orang meninggal kena baca Quran , korang ketawa pula! Roh nenek masih lagi berada di awang-awangan tau!". Huh!. Roh??. Baru terasa sesuatu yang tak kena.Berderau darah, bulu roma meremang. Kami terus terdiam. Kak Long terkedu. "Ampunkan Noni nek!".

Pemergian nenek memberikan aku satu pengalaman yang tidak pernah aku rasakan sebelum ini. Aku, kak Long dan sepupu-sepupu perempuanku, telah disuruh oleh makcik untuk membantu memandikan nenek. Oleh kerana kami masing-masing rasa bersalah, kami turuti perintah makcik.Itulah pengalamanku yang pertama memandikan jenazah! dalam usia muda mungkin 9 atau 10 tahun. (Aku ingat-ingat lupa!).

Makcik kata, apabila Malaikat maut mengambil nyawa, kita akan merasa sakit. Sakit yang teramat sangat. Tatkala sudah "direntap" nyawa kita, badan kita masih lagi akan merasa sakitnya. Maka dari itu, semasa memandikan mayat, kita haruslah berhati-hati. Sapulah badan si mati dengan lembut dan perlahan. Jaga aibnya pesan makcik, kerana rohnya masih  boleh melihat apa yang berlaku ke atas jasadnya. Penerangan makcik seperti jarum menusuk ke badan, buat aku tersedar akan benarnya mati itu.

Air disiram di atas kain batik lepas. "Pelan-pelan..." makcik mengingatkan. Aku tidak pasti tertib memandikan mayat ketika itu . Yang cuma aku ingat, aku ditugaskan menyiram air. Kuingat ada orang yang menekan perut nenek dan mengistinjakkanya. Habis laluan air, nenek disabunkan dan dibilas dengan air yang agak kuat baunya. Itulah bau kapur barus. "Kita ambilkan wudhu untuk nenek" beritahu makcik.   Setelah selesai semua. nenek dilapkan. kain yang menyelimuti nenek masih tidak berganjak. Aurat nenek dijaga rapi.

Selesai sudah nenek dimandikan, mayat nenek di bawa ke tengah ruang tamu. Di kelilingi dengan kaum wanita, nenek diletakkan di atas lapisan kain putih. Satu persatu nenek dibalut dengan kain putih. Hidung nenek disumbat kapas begitu juga mulut dan segala rongga yang terbuka. Di kala itu, seolah-olah satu perasaan asing menyelinap dalam diri. Barulah dapat aku rasakan bahawa sesungguhnya nenek telah meninggalkan kami. Air mata tiba-tiba mula mencurah-curah.

Nenek kemudian disembahyangkan. Ramai juga yang menyembahyangkan nenek.Bukan seperti solat biasa, semua orang hanya berdiri dan mengangkat takbir. Sesungguhnya semua ini pengalaman baru buatku!.

Jenazah kemudiannya diusung ke kereta jenazah dan di bawa ke kuburan. Aku tidak ikut. Mak kata budak kecik tak payah pergi!.Sebaik sahaja mayat dibawa keluar dari rumah, aku mula rasakan kehilangan nenek. Bilik nenek sudah kosong cuma tinggal tilam usang. Bag sirih nenek, masih terletak elok di atas para-para. Tiada lagi gobekan sirih, tiada lagi susunan kotak-kotak mancis, daun sirih nenek masih lagi tersusun di dalam bag, gambir, dan kapur. Gelas kopi nenek sudah tak berisi lagi.



Kalau aku tidur di rumah atok, tiada lagi kelibat nenek mengintai aku di waktu malam....













Doa untuk nenek :

  وَالَّذِينَ جاءُ وْا مِنْ  بَعْدِ هِمْ  يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْـفِرْلَنَا وَلاِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَ بِالاِيْمَانِ.
"Dan orang-orang yang datang sesudah mereka itu akan berkata: Wahai Tuhan kami!  Ampunilah kami dan saudara-saudara kami yang telah beriman sebelum kami".                      AL-HASYR 59 : 10

  رَبَّنَا اغْفِرْلِيْ وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِيْنَ يَوْمَ يَقُوْمُ الْحِسَابِ.
"Ya Tuhan kami!  Berilah keampunan kepadaku dan kedua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (Hari Kiamat)."                                                      IBRAHIM, 14:41

وَاسْتـَغْفِرْ لِذَنْبِكَ وَلِلْمُؤْمِنِيْنَ
"Dan minta ampunlah bagi dosa-dosamu dan bagi orang-orang yang beriman".
                                                                                                            MUHAMMAD, 47:1

4 comments:

  1. Assalamualaikum Norlidah,
    Al-Fatihah utk arwah nenek dan semua kuearga kita yg telah pergi. Nenek dan Atok akak pun dah takde but my owm mum Alhamdulillah is still sihat walafiat dan she herself is a moyang!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikum salam warahmatullah,
      Terima kasih kak "Moh Kembara" kerana sudi menjenguk blog saya. Maaf saya tak mengenali nama penuh kak..:D. Siapa agaknya gerangan..:D. Semoga bonda-bonda dan ayahanda-ayahanda kita diebri kesihatan yang baik. Ameen.

      Delete
  2. Assalamualaikum..walaupun br bc blog ni, takziah..rindunye sy kat tokmak sy bile bc kisah ni...Al-Fatihah

    ReplyDelete
  3. Waalaikum salam warahmatullah saudari Norul Akmar, terima kasih kerana sudi membaca cerita santai daripada saya..:D. Semoga ruh tokmak berada bersama orang-orang yang beriman. Amin.

    ReplyDelete

Sudi-sudikan menulis kembali kepada saya.....