Wednesday, July 18, 2012

Nak panggil apa ?

Kak Long dan aku memang suka merayau semasa kami kecil, mungkin dalam usia 8 atau 9 tahun. Kebanyakan anak jiran semua lelaki. Jadi bila bertemu dengan anak jiran yang perempuan, seronok rasanya kalau dapat berkawan.

Di hujung jalan tersergam sebuah rumah batu besar. Nampak uzur tapi berpenghuni. Di simpang jalan, depan rumah tersebut , ada pokok rendang dan rimbun. Setiap kali melintasi jalan di simpang tersebut, bulu roma boleh meremang. Rumah batu besar itu selalu nampak sunyi. Seorang ibu dan anak perempuannya menetap di situ. Jarang nampak kelibat makcik, tapi kalau nampak, makcik selalu mengenakan kebaya pendek, dengan solekan rapi.

Pernah sekali kami bermain dengan anak perempuannya. Ingin juga bertanya mana pergi ayahnya, tapi selalu tak terkeluar soalan itu dari mulut. Tapi dengar dari desas-desus orang kampung, makcik itu janda. Janda berhias!.

Tapi ... ketika itu , kami masih kecil lagi, apa ada pada gelaran, bagi anak cilik seperti kami, semua orang itu sama sahaja, tak kisah apa yang orang dewasa gelarkan mereka.

Satu hari , Kak Long mengajak aku pergi ke rumah kawan baru kami. Kami suka ikut jalan belakang rumah orang. Sambil melibas-libas kayu entah dari mana Kak Long dapat, Kak Long bertanya, " Ida!, kita nak panggil apa makcik tu ek?. Nama budak tu pun kita tak tahu!". Aku menjawab selamba, " Entah! tapi kan orang cakap dia janda kan?". Kami terus berjalan laju, pada waktu yang sama mataku asyik memerhatikan pokok-pokok daun kesum yang tumbuh melata sepanjang peparitan di situ. Aku suka makan daun kesum yang dimasak dalam lauk asam pedas. Leka berjalan, sedar-sedar kami sudah berada di depan pintu.

Tak sempat aku mencari akal tentang panggilan apa hendak aku beri pada makcik, tiba-tiba terhembur keluar dari mulut Kak Long, " Mak Janda....O...Mak Janda!. Boleh kami main dengan anak Mak Janda tak?".

Makcik tak menyahut kami. Kak Long ulangi laungannya " Mak Janda...O.....", Kak Long tak sempat habiskan laungannya apabila tiba-tiba...  Pang!Pang!. Pipi-pipi kami terasa panas dan berdesing. Terasa bintang-bintang berputaran di kepala. Ku menoleh mencari Kak Long. Terduduk kak Long di atas pokok kesum!. Lencun, habis baju kena lopak!.

"Kurang ajar ya..apa kau panggil aku? Mak Janda?. Siapa ajar kau panggil orang Mak Janda huh?". Mak Janda menyingsing lengan, kami berpandangan, tak tunggu lama..Kami terus pecut!.

Fuh! Sesampai di rumah kami termengah-mengah!. Ibu tanya kenapa?. Kami cerita. Ibu ketawa berdekah-dekah. "Siapalah suruh korang panggil dia Mak Janda?".Kami masih tak faham. Sambil mengusap pipi kami yang merah, ibu jelaskan istilah Mak Janda. Kisahnya! he he he!. Maaflah makcik, kami ini anak yang lurus bendul!. Nasi sudah menjadi bubur, sejak hari itu, kami kehilangan kawan perempuan yang cuma seorang. Kata orang : Cakap siang-siang pandang-pandang, cakap malam ....

Sekadar gambar hiasan.

Friday, July 13, 2012

Aku 3P.

Sekolah sudah tamat. Seronok, ini hari kedua aku mula alam persekolahan. Sudah berasa yakin dan berani sikit untuk berkawan. Apatah lagi apabila emak berada di dalam bas sekolah mengambil aku pulang dari sekolah. Aku lebih selesa kalau mak bersama aku. Naik bas sahaja, mulutku mula bising, macam-macam nak aku ceritakan pada mak. Macma murai cabut ekor lagaknya!, sehingga pakcik pemandu bas berkata,
" Kak Chom  kata si Ida ni pendiam, pemalu dan penakut, macam tak nampakpun!". Aku berpaling ke arah pakcik bas dan berkata "huh?"...he he he.


Tuesday, July 10, 2012

Kebiasaaan vs. Realiti

Terkenang telatah anakku yang kedua, sewaktu usianya 5 tahun. Selepas tamat pra-sekolah, biasanya dia akan berada di sekolah untuk program selepas sekolah. Waktu itu hampir perayaan Krismas. Pasti sahaja anak-anak di sekolah tak sabar menunggu Krismas apatah lagi menuggu Santa Claus. Ramai anak-anak masih lagi di"komersial"kan dengan kewujudan Santa.
Anakku, lain kisahnya, sedang anak-anak lain sibuk bercerita apa yang mereka inginkan untuk Krismas, anakku sibuk "berceramah". "Santa itu tidak wujud sama sekali,itu hanyalah khayalan semata-mata," hujah anakku. Dengan suara lantang, rakannya membantah," Itu tak benar!". "Betul!" balas anakku."Tak benar!!!" balas rakan, "betullll!" bentak anakku. Tanpa disedari, mereka terperangkap dalam lemparan "hujah-hujah" yang akhirnya mengakibatkan rakannya menangis kerana tidak tahan dengan asakan anakku.

Suamiku menerima panggilan telefon dari sekolah langsung bergegas ke sana, setibanya, penjaga kanak-kanak memberitahu suamiku. " Anak awak telah membuat rakannya menangis!". "Oh! Apa yang telah anak saya buat?," tanya suami.
Penjaga terus memberitahu " Anak awak cuba menafikan kewujudan Santa..". Suami tercengang "Jadi??...". " Awak sekurang-kurangnya menasihatkan anak awak supaya tak perlu berkata seperti itu di hadapan kanak-kanak ini.." tegasnya.  Suami mula berasa panas di telinga. " Apa yang anak saya cakap itu adalah benar, dan saya tidak akan mengikut cakap awak untuk mengajar anak saya supaya tidak bercakap benar!, Penjaga itu terus terdiam. Terkedu.




Monday, July 9, 2012

Belajar-belajar makan ubi.

Semasa kecil, Tok Aji selalu bawa pulang ubi kayu, sama ada yang dibeli di pasar atau yang dicabut di belakang rumah. Atok Nah akan rebus ubi tersebut, paling sengkek , kami makan dengan kepala parut yang ditambah gula dan sedikit garam. Paling mewah, di makan dengan ikan masin dan sambal ikan bilis. Licin satu pinggan!.



Emak selalu cerita,belajar-belajarlah makan ubi, kalau darurat, senang nanti sebab selalunya pokok ubi di tanam di mana-mana.

Teringat seorang rakan serumah semasa tinggal di rumah sewa dulu. Aida, orang Batu Pahat. Anak Jawo jati. Sewaktu berkunjung ke rumah Aida, ibunya menghidangkan sejenis lagi makanan orang Johor yang dibuat dari ubi. Getuk-getuk namanya. Sebutan bukan calang sebutan, kalau bukan roang Jawo, "emang orak ngerti" sebutannya.he he he!.

Hari ini, getuk-getuk ini sudah dikomersialkan. Macam-macma rupa dan warna!. Walau bagaimanapun, rasanya tetap sama.

Pernah aku cuba merebus ubi di sini. Orang sini lebih mengenali ubi sebagai "yuca". Pesanan yang sama aku berikan pada anak-anakku. "Makan ubi ni..nanti kalau darurat senang!". Anak-anak melopong kebingungan. Apalah ummi ni mengarut. Macam mana senang makan ubi kayu di negeri "orang putih", kalau ubi kentang mungkinlah!.

Thursday, July 5, 2012

Suai Gambar

Bagai mainan susun suai gambar
Bentuk tak serupa lekuk lain-lain
Tak sama dan tak sepadan
Pabila bertemu
cantumkan setiap satu
Terus bersepadu, erat
Pelengkap kehidupan
Suami isteri.




Wednesday, July 4, 2012

Perempuan dan kereta

Siapa kata orang perempuan tak tahu apa-apa tentang kereta. Mereka hanya tahu  memandu dan kalau nasib baik, hanya tahu bagaimana untuk mengisi minyak.

Pagi ini dengan semangat dan tekad yang waja, aku cuba buktikan aku perempuan yang bukan hanya boleh mengisi minyak, tetapai kalau terpaksa aku juga boleh menukar tayar kereta (bergantung kepada tenaga yang ada..:D).

Baru-baru ini, lampu isyarat belok di sebelah kiri, sudah mati. Kalau nak diikutkan mahu sahaja membawa keretaku ke workshop, namun tak tahulah berapa akan dikenakan bayarannya. Lalu, terlintas di fikiran sekiranya kerja menggantikan lampu ini boleh aku lakukan. Tanpa berlengah, aku melayari video di YouTube. Oh! banyak rupanya video-video menunjuk ajar cara membaiki kereta.

Setelah mengamati satu demi satu video yang ada. Kalau tengok dari segi kesusahan dari lauran memang agak seperti tak boleh nak buat, tetapi setelah mencuba, senang rupa-rupanya! tak sampai lima minit, akut elah berjaya menggantikan lampu tersebut. Girang hatiku bukan kepalang!. Aku terus memberitahu suamiku , dia juga kehairanan tak menyangka aku berjaya membaikinya. Dalam nada sindiran suamiku berkata "is that mean you do not need man anymore ?"...ha ha ha! Kami bergegak ketawa, dalam hatiku Tuhan sahaja yang tahu. Yeehawww!!.

Badminton oh badminton

Sudah berzaman rasanya tak bermain badminton. Sukan kegemaran semasa kecil. Hari ini, anak-anak menajak aku bermain badminton di hadapan rumah. Cuaca memang elok sekali. Panas dan lembap!.

Setelah sejam bermain, terpaksa "serah diri". Keting kaki dah mula sakit. Aduh! tak muda lagi rupanya aku ni..hahaha. Tapi rasa puas dapat bermain bersama anak-anak.

Tuesday, July 3, 2012

Rakan mulia

Rakanku datang jauh dari New York, datang semata-mata untuk menziarah rakan yang sedang tenat.  Bukan senang mendapat rakan yang mulia. Sekiranya ada seorang, simpanlah ia.