CERITAKU : Mandikan nenek. (Bah. 1)

Al -Fatihah buat nenek Zainab binti Hj. Rais, atok Aji -Hj. Mohammad Zin bin Hj. Rais, atok Nah- Hajjah Kasanah binti Daud.

Aku tidak pasti berapa agaknya usiaku ketika itu, mungkin sekitar lapan atau sembilan tahun. Dibesarkan bersama sepupu-sepapat yang lebih kurang sebaya, pastinya riuh rendah rumah dibuatnya. Dua keluarga tinggal sebumbung bersama atok dan nenek. Kalau ibuku hamil, makcikku juga hamil, seperti berjanji pula mereka..hehehe!. Berkat muafakat, aku dikurniakan sepupu sepapat yang rapat serapat adik beradik sendiri.Apabila anggota keluarrga semakin ramai, barulah keluarga makcik merancang untuk berpindah ke rumah sendiri, tetapi keluargaku masih lagi menetap di rumah atok dan nenek.

Asal dari Johor, aku memanggil datuk lelakiku "Tok Aji". Keturunan Jawa tulin. Pertuturan jowonya pekat sekali sehingga aku sendiri "orak" faham. Manakala nenek perempuanku, aku panggil sebagai "Tok Nah", juga seorang keturunan Jawo, keras dengan prinsip hidupnya. Namun begitu, ceritaku kali ini bukanlah berkisar tentang Tok Aji dan Tok Nah (Al-Fatihah buat mereka berdua), tetapi kisah ibu kepada Tok Ajiku yang kami panggil "Nenek Nab".

Pada sekitar usiaku itu, nenekku hampir menjangkau 90 tahun!. SubhanaAllah! Bertubuh kurus dan agak berbongkok sabut, rambut nenek sudah memutih tapi masih panjang mengurai. Selalu disanggul rapi setiap kali selepas mandi. Usia tidak menghalang nenek untuk berjalan mencari daun sirih. Nenekku sudah tiada gigi. Maka sirih yang dimakan mestilah dilumatkan dengan menggunakan gobek.

Hobi
Nenekku bukan calang-calang nenek, masa nenek dipenuhi dengan hobinya ; iaitu mengumpul kotak mancis dan kertas -kertas kecil yang menarik perhatiannya. Dilipat elok dan diselitkan dalam kotak mancis. macam -macam khazanah ada dalam kotak mancis, termasuklah barang kemasnya. Nenek ada bag pusaka iaitu bag sirih. Bag sirih ini cukup untuk menyimpan peralatan gobeknya. Diperbuat daripada anyaman daun nipah atau kelapa, aku tak berapa pasti. Antara khazanah bag sirih nenek ialah gambir, kapur, daun sirih, gobek, kacip dan pasti sahaja kotak-kotak mancis. Semua tersusun rapi.

Cucu-cicit nenek memang nakal-nakal belaka. Pantang nampak nenek duduk senang, ada sahaja yang hendak disakat. Apabila nenek marah, masing -masing akan ketawa dan memeluk nenek, nak tak nak nenek terpaksa menahan marah, gigi tak ada, tak bolehlah nenek ketawa besar.Sekali sekala, kami selalu menyanyikan lagu raya "Lenggang Mak Limah " di depan nenek. Nenek buat-buat tak layan. "tak kuasa aku bebudak nih!". Gamaknya itulah yang nenek ngomelkan.

Imbas semula, terlalu lucu mengenangkan telatah aku, kakakku dan sepupu-sepupuku. Kadang-kadang, kami bantu nenek menggobek sirihnya. Sambil duduk berkapal layar cuba meniru gaya nenek, sambil berpura-pura menyentel songel di bibir...ha ha ha!. "Kurang asam" betul cucu-cicit ni!. Telatah nakal kami bukan kerana rasa tidak hormat pada nenek, tapi tanda kami sayang nenek, sangat suka buat nenek ketawa.

Nenek suka minum kopi. Rutin waktu pagi, nenek akan membuat satu gelas besar kopi pekat hitam. Jangan sekali diusik gelas kopinya, akan menjeling dan mengomel berpanjangan. Tangan nenek sudah terketar-ketar  apabila memegang gelas kopinya. Tidak mahu dibantu , digagahi sendiri.

Waktu tidur
Waktu malam, aku dan Kak Long selalu tidur diruang tamu di sudut rumah, di luar bilik mak dan abah, bukannya tak ada bilik tapi tak suka tidur berpanas. Di ruang tamu ada kipas besar dan luas!. Tapi kak Long selalu mengelat, apabila tengah malam, dia akan lari untuk tidur di dalam bilik. Tinggalkan aku seorang diri tidur di luar!.

Tabiat nenek suka bangun malam untuk ke bilik air. hampir setiap malam nenek bangun, yang tak seronoknya, nenek suka mengintai cucu-cicitnya tidur.

Pernah aku hampir terbuang air kecil dibuatnya kerana "diintai" nenek di tengah malam. Apa taknya, dengan rambut yang mengurai nenek bangun keluar dari biliknya, berjalan mendekati aku, lampu malap dari dapur mengaburkan pandanganku seolah-olah lembaga hitam yang datang, sambil berjalan, nenek menghurai rambut panjangnya sambil dibuat sanggul. Didekati aku dan diamati mukaku.Mungkin nak pastikan cicitnya sudah tidur.
Dalam samar-samar,aku pura-pura tidur di bawah selimut. Berpeluh.Tidak pasti apa yang nenek akan buat terhadap diriku. Momokan dari cerita hantu seram filem Melayu mula berlegar di fikiran.. Dalam hati Tuhan sahaja yang tahu."Betulkah ini nenek , atau....??".





No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikan menulis kembali kepada saya.....