CERITAKU : Mak Pah gila talak (Bah. 1)

Cerita ini kutujukan buat kekandaku Noraisha (bukan nama sebenar) , seindah namanya yang telah banyak mengubah diriku untuk melihat kehidupan ini dalam perspektif yang berbeza. Maafkan aku Kak Longku sayang, bukan niatku membuka pekung keluargaku namun kurasakan pengalaman ini merupakan titik tolak dalam hidupku untuk betul-betul memahami  Allah berfirman :

(Surah Al-Ankabut: 3-4)

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata : "Kami telah beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)? Dan demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian), nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang benar-benar beriman, dan nyata pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta"


Kutemui mutiara Islam di tanah bekas penjajah - Negara Britain. Pelik, tapi itulah kenyataannya. Selama 7 tahun bersekolah agama di tanah air sendiri, bagaimana tidak kutemui mutiara itu?. Soalan yang aku sendiri tak dapat menjawabnya.
Kemanisan Islam hampir-hampir membuatkan aku tidak mahu pulang ke tanah air, kerana khuatir mutiaraku akan keciciran lagi.


Sejak kecil aku tidak begitu rapat dengan Kak Long. Bercakaran macam anjing dengan kucing. Mungkin juga kerana jarak umur yang berbeza. Perwatakan kami amat jauh berbeza. Pandanganku dulu, Kak Long cantik dan ramai peminatnya! Aku masih ingat sewaktu di sekolah rendah, Kak Long banyak menerima surat peminat, antara peminatnya ialah dalam kalangan penyanyi cilik muda di zaman itu. Cemburu?...he he he, manakan tidak, aku ini tidak secantik kakak," mata sepet hidung penyek". Itulah gelaran buatku. Kalau ditanya saudara mara "Kenapa hidung Ida penyek?". Aku selalu katakan "Kena langgar steam roll!..

Kehidupan Kak Long ketika itu penuh dengan misteri bagiku. Ketika itu, jauh sekali bezanya perwatakan Kak Long dengan aku. Cukuplah untuk kukatakan, Kak Long agak bebas sehingga mak dan abah tak putus-putus bersolat hajat buatnya. Kurasakan segala doa selalu ditujukan buat Kak Long. Aku jadi cemburu, kusangkakan perbuatan mereka terutama ibu ialah kerana mereka lebih sayangkan Kak Long dari aku.


Sesungguhnya usia mentahku di kala itu membuatkan aku amat sukar untuk menilai dan mengerti apa yang dilalui oleh Kak Long. Anak mentah ini selalu melihat sesuatu dengan mata kasar. Akibatnya, aku selalu rasa tersisih dan tidak serasi bersama kak Long. Kalau bertekak, bukan mulut sahaja yang menghembur kata, namun kaki dan tangan pun berjalan sama. Dia cengkam aku, aku gigit dia.

Pernah satu ketika "kebencianku dengan perlakuan Kak Long membuatkan aku ingin merantau jauh, tak bertah tinggal serumah dengannya. Ketika itu kurasakan "kebebasan" Kak Long, sudah keterlaluan dan bagiku sungguh tidak "secucuk" denganku. Kenapa Kak Long jadi begitu sedangkan kami berdua bersekolah agama?!. Pada usia mentah, aku sememangnya tak faham akan maksud "ujian Allah".

Aku bukanlah pandai, tetapi Alhamdulillah, sedikit kepandaian aku telah membolehkan aku tinggal di asrama dan terus ke menara gading. Aku suka tinggal jauh dari keluarga, alasan ; supaya aku tidak perlu memikirkan soal keluarga. Entah kenapa, waktu itu aku tidak ada rasa hormat dengan kak Long lagi, "kebongkakkan" ilmu yang ada padaku, menjadikan aku tidak peduli dengan Kak Long. Aku hanya mahu tinggal jauh darinya. Maka apabila ditawarkan aku untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara, hati ini Tuhan sahaja yang tahu. Lega tidak terbilang.

Kakakku berkahwin awal, terlalu muda, maka sudah pasti menjadi satu cabaran besar untuk bekas suaminya yang berumur 30'an. Semasa aku di UK, aku mendapat tahu Kak Long telah bercerai. Pada awalnya aku agak kecewa namun sekali lagi , perasaan tidak peduli menguasai jiwaku.

Selama empat tahun aku di rantau orang, aku mula merasakan keagongan Tuhan. Kutemui mutiara. Aku temui keindahan Islam di sana. Pelik, tapi itulah kenyataan. Keindahannya membuatkan aku sayangkan bumi bekas penjajah ini, aku takut mutiaraku keciciran.

Setelah tamat pengajian, aku berdebat untuk pulang. Aku cuba mencari jalan untuk meneruskan pengajianku ke peringkat Masters. Sudah mendapat tempat, tapi aku gagal mendapat tajaan dari Malaysia. Hampa!. Aku terpaksa pulang, ini bermakna aku terpaksa berdepan dengan kakakku. Aku belum bersedia dan aku tidak tahu bagaimana aku bisa berkongsi "mutiara" ini. Mahu tak mahu kugagahi juga.
Tanpa kusedari pertemuan dengan keluarga tercinta setelah 4 tahun merantau sememangnya kenangan teramat manis, namun dalam kalbuku masih berbaur dengan perasaan bimbang dan gusar, bagaimana aku bisa memimpin tangan Kak Long untuk sama-sama merasai kemanisan Islam. Bagaimana mungkin?. Aku hampir tidak pernah menjalin hubungan sewaktu aku di perantauan. Sekurang-kurangnya, itulah yang tertanam di lubuk mindaku ketika itu.

Aku pulang ke tanah air dengan berpakaian Islam yang "sempurna" : bertudung labuh. Jangkaanku, ilmu agamaku yang kutimba diperantauan sudah penuh di dada. Sehingga tercetus tangkapan, didikan tinggi dan ilmu agama yang penuh di dada pastinya menjadikan aku "dihormati" orang, tanpa kusedari perasaan ujub menyelinap masuk ke dalam jiwa, terlalu halus sehingga tidak langsung kurasai kehadirannya. Sehinggalah.....


No comments:

Post a Comment

Sudi-sudikan menulis kembali kepada saya.....