Wednesday, July 18, 2012

Nak panggil apa ?

Kak Long dan aku memang suka merayau semasa kami kecil, mungkin dalam usia 8 atau 9 tahun. Kebanyakan anak jiran semua lelaki. Jadi bila bertemu dengan anak jiran yang perempuan, seronok rasanya kalau dapat berkawan.

Di hujung jalan tersergam sebuah rumah batu besar. Nampak uzur tapi berpenghuni. Di simpang jalan, depan rumah tersebut , ada pokok rendang dan rimbun. Setiap kali melintasi jalan di simpang tersebut, bulu roma boleh meremang. Rumah batu besar itu selalu nampak sunyi. Seorang ibu dan anak perempuannya menetap di situ. Jarang nampak kelibat makcik, tapi kalau nampak, makcik selalu mengenakan kebaya pendek, dengan solekan rapi.

Pernah sekali kami bermain dengan anak perempuannya. Ingin juga bertanya mana pergi ayahnya, tapi selalu tak terkeluar soalan itu dari mulut. Tapi dengar dari desas-desus orang kampung, makcik itu janda. Janda berhias!.

Tapi ... ketika itu , kami masih kecil lagi, apa ada pada gelaran, bagi anak cilik seperti kami, semua orang itu sama sahaja, tak kisah apa yang orang dewasa gelarkan mereka.

Satu hari , Kak Long mengajak aku pergi ke rumah kawan baru kami. Kami suka ikut jalan belakang rumah orang. Sambil melibas-libas kayu entah dari mana Kak Long dapat, Kak Long bertanya, " Ida!, kita nak panggil apa makcik tu ek?. Nama budak tu pun kita tak tahu!". Aku menjawab selamba, " Entah! tapi kan orang cakap dia janda kan?". Kami terus berjalan laju, pada waktu yang sama mataku asyik memerhatikan pokok-pokok daun kesum yang tumbuh melata sepanjang peparitan di situ. Aku suka makan daun kesum yang dimasak dalam lauk asam pedas. Leka berjalan, sedar-sedar kami sudah berada di depan pintu.

Tak sempat aku mencari akal tentang panggilan apa hendak aku beri pada makcik, tiba-tiba terhembur keluar dari mulut Kak Long, " Mak Janda....O...Mak Janda!. Boleh kami main dengan anak Mak Janda tak?".

Makcik tak menyahut kami. Kak Long ulangi laungannya " Mak Janda...O.....", Kak Long tak sempat habiskan laungannya apabila tiba-tiba...  Pang!Pang!. Pipi-pipi kami terasa panas dan berdesing. Terasa bintang-bintang berputaran di kepala. Ku menoleh mencari Kak Long. Terduduk kak Long di atas pokok kesum!. Lencun, habis baju kena lopak!.

"Kurang ajar ya..apa kau panggil aku? Mak Janda?. Siapa ajar kau panggil orang Mak Janda huh?". Mak Janda menyingsing lengan, kami berpandangan, tak tunggu lama..Kami terus pecut!.

Fuh! Sesampai di rumah kami termengah-mengah!. Ibu tanya kenapa?. Kami cerita. Ibu ketawa berdekah-dekah. "Siapalah suruh korang panggil dia Mak Janda?".Kami masih tak faham. Sambil mengusap pipi kami yang merah, ibu jelaskan istilah Mak Janda. Kisahnya! he he he!. Maaflah makcik, kami ini anak yang lurus bendul!. Nasi sudah menjadi bubur, sejak hari itu, kami kehilangan kawan perempuan yang cuma seorang. Kata orang : Cakap siang-siang pandang-pandang, cakap malam ....

Sekadar gambar hiasan.

3 comments:

  1. HAHAHA lurus bendul ekk masa budak2 dulu!

    ReplyDelete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. Benar Huszaini!..kesian Kak Long "piak" kena tempeleng. We've learned a hard way...

    ReplyDelete

Sudi-sudikan menulis kembali kepada saya.....